RUKUN NEGARA DOKTRIN YANG SEMAKIN DILUPAKAN
PADA 31 Ogos 1970, Rukun Negara telah
diperkenalkan secara rasmi dengan harapan yang begitu tinggi supaya ia dapat
membentuk keperibadian rakyat negara ini sebagai satu bangsa Malaysia yang
bersatu padu.
Rukun
Negara dijadikan ideologi negara dengan harapan seluruh rakyat dapat hidup
dalam satu negara yang berbagai kaum, agama dan budaya.
Namun
piagam dan ideologi negara yang telah berusia lebih 36 tahun ini semakin
terpinggir dan dilupakan. Komposisi lima prinsip iaitu kepercayaan kepada
tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan
undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan tidak lebih daripada cetakan di buku
latihan dan lukisan mural di dinding sekolah.
Sensitiviti
kaum dan agama sudah boleh diluahkan secara terbuka. Kritikan terhadap kaum dan
agama tertentu sudah menjadi kebiasaan masa kini. Budaya sesuatu kaum sudah
boleh dipertikaikan dan menjadi bahan ketawa. Malah integrasi nasional antara
Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak bukannya semakin rapat, tetapi semakin
jauh untuk menjadi realiti.
Inilah
antara cabaran kepada perpaduan nasional yang memegang Rukun Negara sebagai
paksinya. Apakah kerana arus global dan nasional yang terlalu mengejar
kebendaan dan keteguhan ekonomi mengakibatkan Rukun Negara tidak lagi menjadi
doktrin setiap warganegara Malaysia dalam penerusan hidup bermasyarakat yang
pelbagai warna kulit, bahasa dan kepercayaan?.
Rukun
Negaralah sebenarnya penyelesai kepada segala cabaran dan permasalahan hubungan
kaum di negara kita. Akibat terlampau remeh dan sengaja melupakan lima prinsip
Rukun Negara, masyarakat hari ini sebenarnya bukannya maju ke hadapan dalam
konteks hubungan kaum, malah melangkah mundur.
Walaupun
banyak dasar dan program telah dijalankan oleh kerajaan dalam mewujudkan
perpaduan, namun masih terdapat permasalahan dan cabaran yang harus ditempuh
oleh pihak kerajaan dan masyarakat sendiri.
Cabaran
ini adalah berteraskan kepada tiga faktor utama iaitu penduduk yang berbilang
kaum, kedua, keadaan geografi yang berbeza dan ketiga, latar belakang negeri
yang berbeza.
Tidak
cukup sebenarnya jika kita hanya berharap kepada kerajaan untuk membentuk
perpaduan nasional. Setiap rakyat negara ini sepatutnya mempunyai tanggungjawab
dan kesedaran sivik yang lahir dari hati dan fikiran yang bersih dan semula
jadi. Itulah rahsia jika kita ingin hidup dalam masyarakat yang pelbagai kaum.
Penyataan secara bertulis dan rasmi sebenarnya telah pun ada sejak 36 tahun
dahulu, iaitu Rukun Negara.
Sepatutnya
pada masa kini warga Malaysia tidak lagi mempunyai sebab mengapa perpaduan
nasional dan bangsa Malaysia harus menjadi masalah. Akibat sudah lupa wujudnya
Rukun Negara, menyebabkan isu perkauman masih lagi menjadi isu nasional.
Sebabnya masih ada lagi warganegara yang masih tidak faham hidup bermasyarakat
dalam sebuah negara yang pelbagai kaum. Sudah tiada lagi toleransi dan
hormat-menghormati agama dan budaya sesuatu kaum.
Sudah
ada pihak yang ingin menjadi juara kepada kaumnya sendiri dengan menempelak dan
mempertikaikan hak dan keistimewaan sesuatu kaum. Walaupun kita dalam era
globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang telah banyak merubah rakyat
menjadi celik maklumat, namun ia tidak sepatutnya melorongkan kita kepada buta
sejarah dan keamanan.
Golongan
sebegini telah lupa bahawa akibat formula kongsi kuasa, toleransi dan give and
take yang menjadi amalan dan terbukti berkesan hampir 50 tahun pentadbiran
negara, mereka boleh bersuara lantang dan mencetus api pergeseran kaum. Jika
tiada formula tersebut, nescaya golongan antiperpaduan langsung tidak dapat
bersuara pada hari ini.
Kita
patut bermula dari rumah untuk memperkasakan kembali matlamat, inti pati dan
ikrar Rukun Negara. Didik dan bentuk diri sendiri dan keluarga untuk menghayati
kembali indahnya Rukun Negara sebagai pedoman hidup dalam masyarakat majmuk.
Yang
pasti, semua pihak harus menyuburkan semula amalan dan penghayatan Rukun
Negara. Bukan sekadar kerana terpaksa untuk mencetak Rukun Negara di buku
latihan sekolah dan menggantung posternya di dalam pejabat, tetapi melaksanakan
dan semat di hati sebagai amalan dan pedoman harian.
Rujukan: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm
Rujukan: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_09.htm
No comments:
Post a Comment