Sunday 27 August 2017

KEPENTINGAN RUKUN NEGARA


KEPENTINGAN RUKUN NEGARA

1. Mencapai Perpaduan yang Lebih Erat


Huraian: Semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita untuk membentuk satu bangsa dan negara di mana ahli-ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan perbezaan kepercayaan masing-masing..



Contoh: Rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dengan berbagai-bagai perbezaan yang wujud. Keadaan ini bertambah rumit lagi kerana wujud ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Sungguhpun wujud unsur-unsur perbezaan ini, melalui Rukun Negara akan dapat membentuk satu bangsa yang bersatu padu di mana semua rakyat tanpa mengira kaum mempunyai semangat kesetiaan dan perasaan cinta terhadap negara.





2. Memelihara Satu Cara Hidup Demokratik


Huraian: Perlembagaan negara menjamin kebebasan hak asasi dan kebebasan kegiatan-kegiatan berpolitik rakyat Negara ini asalkan tidak melanggar undang-undang negara. Tetapi hak –hak serta kebebasan yang diberikan ini tidak boleh disasah gunakan atas nama demokrasi untuk membakar perasaan perkauman atau bagi memusnahkan demokrasi.


Contoh: Apabila berlaku sebarang masalah yang melanda negara,kepentingan bangsa dan negara mestilah didahulukan. Kepentingan negara hendaklah diutamakan lebih daripada kepentingan sesuatu kaum, untuk memastikan kestabilan dan keselamatan negara berkekalan.



3. Mencipta Sebuah Masyarakat Yang Adil


Huraian: Semua anggota masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kekayaan negara. Masyarakat yang adil akan wujud di negara ini jika kekayaan negara dapat dibahagikan dengan adil dan saksama.


Contoh: Bagi mencapai tujuan ini, pihak-pihak yang lemah akan dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang sama untuk bersaing dengan pihak-pihak yang lain yang lebih maju. Masyarakat adil yang kita cita – citakan itu bebas daripada penindasan sesuatu golongan terhadap yang lain.

4. Membentuk Satu Sikap Yang Liberal.

Huraian: Masyarakat negara ini bebas mengamalkan agama. Adat resam dan kebudayaan masing-masing sesuai dengan matlamat perpaduan negara. Negara kita sesungguhnya mempunyai kekayaan dari segi kebudayaan dan adat resam yang diamalkan oleh masyarakat pelbagai kaum.


Contoh: Walaupun ada perbezaan, semua anggota masyarakat hendaklah bercita-cita untuk mewujudkan satu masyarakat dimana keadaan berlainan kebudayaan itu boleh menguntungkan dan menjadi sumber kekuatan kepada bangsa dan negara Malaysia. 




5. Membina Sebuah Masyarakat Progresif. 


Huraian: Kita bercita-cita hendak mewujudkan sebuah masyarakat progresif yang mencapai kemajuan di bidang sains dan teknologi selaras dengan perkembangan teknologi terkini serta dunia tanpa sempadan dan era globalisasi. Dunia kini sedang menyaksikan perubahan-perubahan yang begitu cepat dalam bidang ilmu pengetahuan, sains dan teknologi.


Contoh: Masyarakat progresif yang hendak diwujudkan merupakan satu masyarakat yang bergerak maju dengan kemajuan sains dan teknologi yang akhirnya akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju sebagaimana matlamat Wawasan 2020. Tetapi kemajuan tersebut tidak akan menjadikan rakyat negara ini terkeluar daripada batas-batas agama dan nilai-nilai ketuhanan.

Rujukan: https://azemi09.wordpress.com/2015/02/14/esei-kepentingan-rukun-negara/

No comments:

Post a Comment